TERSENTUH
KETIKA MEMBACA ARTICLE DI BAWAH......
MARILAH
BERSAMA LUANGKAN MASA UNTUK MEMBACA TULISAN
TUN
MAHATHIR.
MENGAPA
TUN MAHATHIR SEDIH?
SAYA
sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati
sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat
kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu
sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang
lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi
generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri
kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi
takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika
mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit
bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita
sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata
mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan,
tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan
orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka
sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki
orang lain.
Orang
putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak
mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya
layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka
dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab
kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk
mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang
Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang
lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang.
Jika
tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka
dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka
diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal
mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa
bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri
Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis,
Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.
Di
bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan
Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak
turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala
oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan.
Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh.
Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa
kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian,
British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka
jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu
diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan
diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan
Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah
Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf
rakyat Malayan Union milik British.
Dalam
keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak
memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah
tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar,
lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah
Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak
bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah.
Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang
terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka
ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau
kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan
Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak
berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan
rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan
Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang
Melayu dan negeri mereka.
Malangnya
sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka
bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri,
khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan
Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk
bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk
menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan
apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang
kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan
mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka
akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang
akan datang.
Kumpulan
pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang
kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku
Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan
ini.
Tetapi
Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini
memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya
sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan
UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan
tidak tercapai pada 1957.
Tanpa
merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya
membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain
pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa
dijajah.
Berkat
semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan
bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum
lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya
memajukan negara sehingga dikagumi dunia.
Semua
ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia.
Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam
bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya
kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan
kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan
individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama
mereka.
Mereka
yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil
untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa,
terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong,
menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu
meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara
ini.
Hasilnya
ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu
digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah
kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang
lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan
orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan
orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti
Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak
Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi
akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi
dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka
sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah
yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh
orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang
pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh
perasaan benci apabila dihasut.
Orang
Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka
tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah
merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh
kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi
kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada
kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab
inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan.
Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak
tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini
tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan
bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri
sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita
tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Artikel
dr Utusan